𝗞𝗢𝗡𝗩𝗢𝗞𝗘𝗦𝗬𝗘𝗡 𝗞𝗣𝗧𝗠 𝗞𝗘-𝟯𝟴 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗨𝗣𝗧𝗠 𝗞𝗘-𝟲 𝗥𝗔𝗜 𝟰,𝟳𝟬𝟰 𝗚𝗥𝗔𝗗𝗨𝗔𝗡 PUTRAJAYA, 5 November 2022 –Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) akan meraikan seramai 4,704 orang graduannya dalam Majlis Konvokesyen KPTM ke-38 DAN KUPTM ke-6 yang bermula hari ini hingga 7 November 2022. Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf berkata, ia melibatkan enam sidang merangkumi 1,384 graduan KUPTM dan 3,320 graduan KPTM. Graduan ini akan menerima Ijazah, Diploma dan Sijil Profesional masing-masing dari pelbagai program pengajian. Pada konvokesyen tahun ini, 3.5% graduan dari KUPTM telah mencapai prestasi cemerlang dengan 165 graduan menerima Anugerah Naib Canselor, 20 graduan menerima Anugerah Nilam Baiduri dan 2 graduan menerima Anugerah Berlian. Manakala 12.4% graduan KPTM telah mencapai tahap cemerlang meliputi 2 graduan menerima Anugerah Platinum, 29 graduan menerima Anugerah Pingat Emas, 10 graduan menerima Anugerah Khas Pengerusi KPTM, 370 graduan menerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang graduan menerima Best Student Program BAAF. “Saya amat berbangga dan gembira dengan pencapaian graduan pada hari ini kerana kumpulan ini merupakan pelajar yang terkesan dan terpaksa belajar dalam tempoh pandemik Covid-19. “Saya yakin cabaran itu menjadikan anda kini lebih bersedia dalam menghadapi apa jua rintangan dan cabaran mendatang, lebih-lebih lagi graduan ini bakal menempuhi alam pekerjaan kelak,” katanya dalam ucapan pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Kolej Poly-Tech MARA merupakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang kini mempunyai tujuh (7) buah kampus cawangan iaitu KUPTM Kuala Lumpur, KPTM Kuantan, KPTM Bangi, KPTM Kota Bharu, KPTM Alor Setar, KPTM Ipoh dan KPTM Batu Pahat. Institusi ini menawarkan sebanyak 45 kursus dalam pelbagai bidang antaranya Pentadbiran Perniagaan, Perakaunan, Sains Komputer, Multimedia, Kejururawatan, Pendidikan dan lain-lain. Tambah Azhar, berdasarkan data daripada kajian Tracers Study oleh Kementerian Pengajian Tinggi 2022, 86% daripada graduan KPTM memperoleh pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas bergraduat. Jumlah ini termasuklah yang menyambung pengajian. Selain itu, KUPTM sedang melalui proses transformasi dari sebuah kolej universiti kepada sebuah universiti penuh dengan tertubuhnya Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang merupakan Institusi Pendidikan Tinggi MARA kedua bertaraf universiti. Dengan penubuhan UPTM ini, diharapkan dapat merealisasi dan mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025, seterusnya menjadi pelengkap kepada ekosistem pendidikan tinggi MARA.